Seri Paduka meluangkan masa selama kira-kira setengah jam pada petang Khamis di tapak peringatan itu yang dibina pada 2016 sebagai tanda penghormatan kekal dan peringatan perang bagi menghormati para anggota tentera dan warganegara UAE lain yang telah gugur syahid dan mengorbankan nyawa mereka demi berkhidmat untuk negara.

Lawatan bermula dengan Sultan Abdullah dan Pengarah Urusan Pejabat Syahid, Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan, memeriksa Perbarisan Hormat yang terdiri daripada 20 anggota tentera UAE.

Yang di-Pertuan Agong kemudian menyentuh lingkaran bunga di situ dengan kedua-dua tangan baginda sebelum bertafakur seminit sebagai tanda memperingati para wira yang telah gugur.

Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan kemudian mengiringi lawatan Seri Paduka sambil memberi penerangan tentang tugu peringatan tersebut yang mana Sultan Abdullah dilihat menganggukkan kepala tanda faham sebelum Seri Paduka menandatangani buku pelawat sebelum berangkat meninggalkan tapak peringatan tersebut. - Bernama