Ketibaan Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Sambutan bertemakan "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara" dimulakan dengan bacaan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Agama dan Kebajikan, Luqman Ramli serta ikrar oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Norhisham Mohamad.

Majlis diteruskan dengan sembah ucapan menjunjung kasih daripada Zuraida diikuti titah perasmian Sultan Abdullah.

Selepas itu berlangsung gimik menggunakan pesawat Agusta AW139 yang melintasi Padang Dataran Merdeka menunjukkan tiga anggota penyelamat wanita pasukan khas Multi Skill Team (MUSTTeam) turun daripada helikopter menggunakan teknik abseilingdan winching.

Sultan Abdullah kemudiannya berkenan menerima pisau RT III yang dipersembahkan oleh Ketua Pengarah Bomba, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan meletakkan di atas peralatan khas sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019.

Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak oleh Pegawai Bomba, Mohd. Fauzi Jamikah bertajuk 'Pejuang Wira Merah' dan diikuti persembahan kebombaan Pasukan 'Special Tactical Operation and Rescue Malaysia' (STORM).

Acara kemudiannya diteruskan dengan acara perbarisan 35 kontinjen dan perarakan 79 unit jentera  membabitkan 1,551 peserta antaranya adalah Pasukan Penyelamatan Bangunan Tinggi, Bahagian Udara Bomba, Pasukan Penyelamat Di Air dan Unit Pengesan (K9).

Turut diadakan acara perarakan jentera bomba antaranya melibatkan jentera  High performance Pump Modul, Foam Tender, Water Tanker, Helikopter Augusta 109 E, Augusta Westland AW 139, Augusta Westland AW 189 dan Mi-17.

Sempena sambutan ini, Pameran Kebombaan, Mess Nite akan diadakan pada 21 Julai diikuti Larian Bomba pada 17 Ogos di Persiaran Cyberjaya.

Selain itu program bomba bersama komuniti, kempen keselamatan kebakaran dan program kesedaran awam turut diadakan di seluruh negara. - Bernama