Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin berkata, semasa pertemuan kedua-dua ketua negara itu berbincang mengenai usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama antara kedua-dua negara, terutama yang berkaitan dengan haji.

Beliau berkata, lawatan sulung Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong atas jemputan Raja Salman sendiri itu banyak membantu dalam mengukuhkan hubungan mesra dua negara yang telah terjalin sejak 1957.

Katanya, dalam perjumpaan itu, Sultan Abdullah menyuarakan rasa puas hati dengan lawatannya ke Arab Saudi, dan lawatan itu memberikan peluang kepada kedua-dua ketua negara untuk bertemu, selepas kali terakhir Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah melawat negara berkenaan.

"Tuanku menyampaikan ucap selamat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Raja Salman turut menyampaikan penghargaan dan menjemput Mahathir untuk melawat Arab Saudi," katanya kepada media Malaysia selepas majlis perjumpaan secara tertutup itu berakhir. - Bernama