Keberangkatan tiba Seri Paduka pada pukul 9.15 pagi disambut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta pengurusan tertinggi jabatan itu. 

Lawatan tidak berjadual itu dilakukan sejurus Sultan Abdullah selesai mengadakan mesyuarat mingguan pra kabinet bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Istana Melawati pagi ini. 

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin lawatan mengejut dan ringkas itu adalah inisiatif Seri Paduka sendiri selaku ketua agama negara. 

Beliau berkata, lawatan itu membolehkan baginda mendapat pencerahan lebih mendalam berkenaan fungsi dan peranan Jakim di samping beramah mesra dengan warga jabatan. - Bernama