Menurut beliau, di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan skuad Harimau Malaya melangkah ke final selepas menyingkirkan juara bertahan, Thailand di Bangkok malam tadi, individu penting seperti Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak wajar dilupakan atas sumbangan baginda disebalik tabir.

"Biarpun saya kini adalah Presiden FAM, namun secara peribadi saya berasakan TMJ selaku  mantan Presiden FAM tetap berhak diberikan penghargaan di atas kejayaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin berkata, Cheng Hoe telah dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih menggantikan Nelo Vingada pada Disember tahun lepas ketika TMJ masih menjadi Presiden FAM.

"Ini menunjukkan kesinambungan percaturan yang dicetuskan baginda kini sudah membuahkan hasilnya.

Mungkin ramai yang tidak tahu biarpun sudah hampir sembilan bulan Tunku Ismail meletak jawatan sebagai Presiden FAM, baginda merupakan individu di belakang tabir yang sentiasa bersama saya dengan memberikan pelbagai bentuk sokongan untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan," katanya.

Hamidin juga melaungkan keyakinan bahawa kata-kata semangat dan motivasi yang dilontarkan baginda pada perjumpaan sebelum ini masih tersemat dalam diri skuad skuad Harimau Malaya untuk terus berjuang berhabisan dalam memastikan Piala AFF Suzuki dapat dijulang buat kali kedua selepas penantian selama lapan tahun.

Malaysia layak ke final walaupun seri 2-2 menentang juara bertahan, Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok.

Keputusan itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember lepas.

Menanti Malaysia di final adalah pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Vietnam menentang Filipina, malam ini. - Bernama