Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya bersedia untuk duduk berbincang dengan LTAT, namun bertegas hanya akan membayar jumlah tersebut sahaja.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang menyifatkan keputusan membayar RM555 juta sebagai tidak adil dan bercanggah dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani sebelum ini.

"Kita tidak terikat dengan janji kerajaan terdahulu, setakat mana yang kami faham kos itu (RM555 juta) sudah ditetapkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu, beliau dilaporkan berkata Kabinet bersetuju membayar balik RM555 juta dana LTAT secara berperingkat yang sebelum ini digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera AES termasuk aset pada 2015.

Bayaran RM295 juta dan RM260 juta, masing-masing kepada ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd itu tidak membabitkan sebarang pemilikan aset besar.

Semalam, Mohd Anwar berkata LTAT ditawarkan kerajaan sebelum ini untuk mengambil alih ATES dan Beta Tegap yang dianugerahkan bagi membekal, memasang serta menyelenggara 1,093 kamera AES di beberapa lokasi strategik.

Kerajaan terdahulu menerusi Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengambil alih AES yang kemudian diberi nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) daripada LTAT pada November 2017.

Loke berkata antara persetujuannya ialah kerajaan terdahulu akan membayar balik semua kos pelaburan LTAT dalam projek AES, di samping pulangan berkadar 12 peratus setahun. - Bernama