Tertuduh, Datuk Hasan Abd. Rahman, 57, dan Khuzaimah Abdullah, 34, yang masing-masing dihadapkan dengan 34 pertuduhan membuat pengakuan itu sejurus dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut kesemua pertuduhan terhadap Hasan, tertuduh yang telah diamanahkan ke atas peruntukan NBOS 2016 untuk negeri Melaka bagi Projek Tanaman Jagung, Tanaman Pisang dan Sayuran - Gantian Cili dan Ternakan Rusa didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menandatangani 34 keping cek berjumlah keseluruhan RM318, 400.

Kesemua pembayaran itu bagaimanapun tidak diterima oleh penerima projek tersebut.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu, Khuzaimah didakwa atas pertuduhan sama bersubahat dengan Hassan untuk melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS bagi projek-projek tersebut pada tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu,  kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun mencadangkan jaminan sebanyak RM50, 000 setiap seorang dan meminta passport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Hassan diwakili Peguam Hamidi Mohd. Noh dan Mohd. Haziq Razali manakala Khuzaimah diwakili Peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin.

Mohd. Nasir kemudian membenarkan kedua-dua mereka dijamin sebanyak RM50,000 setiap seorang dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah. Beliau kemudian menetapkan tarikh 20 Ogos sebagai sebutan semula kes. - K! ONLINE