Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Lee Chuan How berkata, trek basikal di Velodrom Rakyat di sini bukan sahaja tidak sedia digunakan malah boleh menjadi ancaman kepada atlet.

"Memang tiada alternatif lain selain digugurkan, baik saya pikul tanggungjawab untuk jawab kenapa ia perlu digugurkan berbanding menjawab sekiranya terdapat atlet tercedera akibat velodrom yang tidak sempurna," katanya ketika ditemui selepas melawat venue Sukma di sekitar bandar raya Ipoh di sini hari ini.

Beliau yakin trek tersebut tidak dapat dibaiki dan tidak akan mencapai piawaian sebagai venue pertandingan sebelum Sukma 2018 yang bermula pada 12 hingga 22 September ini.

"Trek lumba yang memakan belanja besar ini mempunyai masalah seperti reput dan berlumut bukan sahaja pada permukaan, malah sampai ke kayu berlapis-lapis," katanya. - Bernama