Allahyarham yang popular dengan panggilan Abe Jali Salam Pantai Timur meninggal dunia pada pukul 4 pagi selepas menghadapi komplikasi sesak nafas.

Menurut rakannya, Mohd. Razani Hasan, 55, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah kakaknya di Kampung Nangka, Bekelam dan dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nangka selepas solat Asar hari ini.

"Saya menerima berita sedih itu pada pukul 8 pagi hari ini dari seorang rakan yang berada di hospital berkenaan. Saya difahamkan Abe Jali juga mengalami pendarahan dalam otak.

"Arwah merupakan seorang sahabat yang baik, dia banyak berjasa bukan sahaja kepada dunia hiburan tetapi kepada masyarakat dalam hal-hal yang melibatkan kerja amal dan sosial sepanjang hidupnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razani berkata, arwah pernah menggalas tanggungjawab sosial sebagai Pengerusi Belia 4B Kampung Chap.

Allahyarham Abe Jali sebelum ini tinggal bersama ibunya, Mek Nab Samad, 80, di rumah pemberian Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di Kampung Chap, Bekelam.

Dia dikenali ramai selepas berlakon dalam Sitcom komedi Salam Pantai Timur terbitan RTM sekitar tahun 2007.

Arwah juga aktif dalam dikir barat dan pengacaraan dan terpaksa bersara selepas menderita sakit kencing manis kronik.

Kaki kanannya terpaksa dipotong setahun lalu dan arwah dirujuk ke HRPZ II awal bulan ini bagi rawatan susulan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. - K! ONLINE