Kedua-dua mereka dipilih sebagai pemenang dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi bagi qari 89.68 peratus dan qariah 86.67 peratus pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban sebentar tadi.

Johan qari dan qariah menerima wang tunai RM15,000, tambahan tunai RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, cenderamata dan sijil penyertaan serta hadiah sumbangan daripada kerajaan Negeri Sembilan berupa simpanan emas bernilai RM1,400.

Penyampaian hadiah kepada pemenang kategori lelaki disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir manakala kategori wanita disampaikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Majlis itu juga turut dihadiri Undang Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Datuk Muhammad Abdullah dan Tok Puan Faridah Hanom Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, serta barisan Exco kerajaan negeri. - Bernama