Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Alauddin Abdul Majid berkata, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang sebelum itu memancing di kawasan rekreasi itu bersama beberapa rakan, difahamkan orang pertama terjun ke sungai bagi menyelamatkan empat orang dalam kenderaan terbabit daripada lemas.

"Mungkin dalam proses menyelamatkan empat orang itu, mangsa terlalu lama berada di dalam air menyebabkan dia kekejangan (dan tidak timbul selepas itu)," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Selain Abdul Bari Asyraf, empat orang awam lain turut berusaha menyelamatkan mangsa yang berada dalam kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.

Alauddin berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan diminta memagar keseluruhan kawasan itu bagi mempertingkat kawalan keselamatan dan memasang papan tanda amaran agar kejadian serupa tidak berulang kerana pada masa kini hanya sebahagian sahaja kawasan itu dipagar.

"Pengunjung juga dinasihatkan agar lebih prihatin dan berhati-hati dengan keselamatan masing-masing," katanya. - Bernama