Syafiq, 24, ketika dihubungi Kosmo! memberitahu penggambaran untuk Abang Long Fadil 3 (ALF3) mungkin akan bermula selepas perayaan Aidilfitri tahun depan dengan bajet maksimum sebanyak RM4 juta. Bukan sahaja kesinambungan cerita, sekuel terbaharu nanti menjanjikan aksi dan kualiti yang lebih hebat.

"Buat masa ini semuanya masih dalam perancangan, namun apa yang boleh dikatakan ALF3 pastinya menjanjikan aksi dan komedi yang lebih hebat. Saya juga akan mengurangkan penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) dengan menekankan mutu lakonan dalam setiap babak.

"Selain mengekalkan pelakon Zizan Razak selaku teraju utama, saya juga bakal melamar lebih ramai muka baharu dalam sekuel ini," katanya.

Tambah anak kepada Datuk Yusof Haslam itu, dia memerlukan tempoh pembikinan yang lebih panjang berbanding ALF2 demi menghasilkan kualiti terbaik sebelum menemui penonton pada tahun 2019.

Terdahulu, kejayaan filem keenam arahan Syafiq itu sekali gus merampas takhta kedudukan filem arahan Ghaz Abu Bakar, Polis Evo iaitu RM17.74 juta dan filem arahan abangnya sendiri Syamsul Yusof, Munafik (RM17.042 juta). - K! ONLINE