Operasi bersepadu melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kemaman, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Agama Islam Daerah Kemaman yang diketuai Ketua Unit Penguat Kuasa AADK Kemaman, Muhammad Norzakri Ahmad Norbi itu berakhir pukul 7 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman berkata, operasi berkenaan memfokuskan kepada kawasan Felda Neram, Cheneh, Cherul, Seri Bandi, Kerteh, Binjai dan Air Putih.

"Serbuan yang diadakan di setiap lokasi berkenaan bermula pukul 4 pagi semalam berjaya menahan 55 individu dipercayai penagih dadah berusia dalam lingkungan 19 hingga 57 tahun.

"Sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dan syabu serta air ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM1,500 turut berjaya dirampas dalam operasi berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE