Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pendidikan pencegahan penting untuk diterapkan kepada golongan remaja bagi memastikan kumpulan itu bebas daripada pengaruh dadah.

“Pihak AADK dalam persediaan menyediakan modul pencegahan baharu dan kita percaya melalui pendidikan negara mampu melahirkan genarasi yang berkualiti.

“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan tiga kementerian iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan agar dapat membantu mencegah peningkatan jumlah penagih dadah khususnya membabitkan remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Antidadah selama dua hari ke Pahang di Ibu Pejabat AADK di sini hari ini.

Menurutnya lagi, penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja serta pelajar sekolah masih berada dalam keadaan terkawal.

“Berdasarkan statistik AADK bermula 2014 hingga tahun lalu seramai 115,000 penagih dikesan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 3,680 iaitu 3.2 peratus sahaja membabitkan golongan berusia 13 hingga 18 tahun.

“Kita kerap membuat ujian saringan di sekolah bagi memastikan pelajar bebas daripada pengaruh dadah malah kaunseling juga diberikan kepada ibu bapa pelajar yang terjebak supaya mereka peka berhubung aktiviti anak-anak mereka,” ujarnya. - K! ONLINE