Khir, 46, berkata, bapanya meluahkan hasrat untuk berbuat demikian ketika meraikan Aidilfitri bersama keluarga baru-baru ini.

“Semasa kami beraya bersama, arwah bapa ada menyatakan hasrat untuk menyambut ulang tahun kelahiran kedua cucunya, Irwan Shah yang jatuh pada hari ini.

“Perbualan bersahaja tersebut membuatkan saya terfikir bahawa ia sebagai petanda terakhir untuk bapa untuk berjumpa kami buat kali terakhir,” katanya kepada Kosmo! Online di kediaman A. Rahman di sini sebentar tadi.

Irwan Shah merupakan anak kepada anak bongsunya iaitu Khairulazmi.

A. Rahman meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat strok dan pendarahan pada bahagian otak pada pukul 12.40 pagi.

Beliau berusia 73 tahun.

Sementara itu, Khir berkata, arwah bapanya merupakan seorang individu yang amat menitikberatkan mengenai budaya.

Khir berkata, arwah turut menjaga mengenai soal penggunaan bahasa Melayu dan sentiasa menerapkan budaya bersopan-santun sesama manusia.

“Bapa merupakan orang bahasa. Apabila beliau melihat bahasa Melayu dirojakkan dan dituturkan tanpa penggunaan betul, hatinya hancur.

“Saya masih ingat pesanannya untuk memelihara bahasa dan budaya serta menjaga kelakuan sebagai anak seni,” katanya.

Jenazah dibawa pulang dan dimandikan di kediamannya dan akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat.

Antara rakan artis yang kelihatan menziarah Allahyarham ialah Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Datuk M.Nasir, Fauziah Nawi, dan Zed Zaidi.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohammadin Ketepi. - K! ONLINE