Menurut A.R Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 69, berkata, dia yakin wujud kelalaian sepanjang latihan sehingga mengakibatkan anaknya maut dalam kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan melulu membuat kesimpulan sebaliknya menanti maklumat penuh daripada pihak berkaitan.

"Saya sedih sebab saya merasakan kejadian ini berlaku akibat kelalaian. Mengenai tanggungjawab seorang askar kepada negara, saya faham.

"Mereka sering jatuh, patah dan cedera. Sekiranya meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara atau meleraikan penunjuk perasaan saya boleh terima," katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan jenazah, pelakon filem Prebet Lapok itu berkata, jenazah berkemungkinan akan diterbangkan ke Semenanjung selewat-lewatnya petang ini.

"Urusan jenazah diuruskan sepenuhnya oleh pihak tentera. Jenazah mungkin akan dikebumikan sama ada di Kuala Lumpur atau di Perak iaitu kampung halaman isterinya," katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seorang komando dari Kem Sungai Udang di Melaka yang juga anak kepada A.R Badul meninggal dunia semasa melakukan demonstrasi tembakan raifal.

Difahamkan dalam kejadian pada pukul 9.20 pagi itu, mangsa yang berusia 36 tahun sedang melakukan latihan untuk sebuah persembahan.

Mangsa berusia 36 tahun meninggalkan seorang balu dan enam orang anak. - K! ONLINE