Jumlah tersebut meningkat seramai 15 individu berbanding 68 orang pada pukul 8 pagi semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua tangkapan tersebut terdiri daripada warga tempatan.

“Jika ada sebarang perkembangan lanjut, kita akan maklumkan selepas pukul 8 pagi esok supaya tiada kenyataan yang bercanggah.

“Saya tidak boleh mendedahkan samada beberapa suspek yang ditahan itu adalah individu yang dicari polis semalam kerana perkara tersebut masih dalam proses siasatan tetapi mereka semua terbabit dengan insiden di kuil dan usaha memburu suspek akan diteruskan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara industri automotif, robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersama Kolej Unikop yang dimiliki Koperasi PDRM hari ini.

Ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu berkenaan kabinet bersetuju untuk menarik semula moratorium atau sekatan ke atas undang-undang serta akta tertentu, beliau berkata, undang-undang berkenaan telah dikuatkuasakan oleh pihak polis.

“Kerajaan masih belum memansuhkan undang-undang dan akta tersebut, jadi kita masih boleh gunakannya untuk kes sebegini (rusuhan).

“Sehingga masa kini, polis telah mengambil tindakan terhadap beberapa individu di bawah Akta Hasutan,” ujarnya.

Akhbar Kosmo! kelmarin melaporkan kabinet bersetuju menarik semula sekatan ke atas beberapa undang-undang serta akta ter­tentu bagi memberi kuasa sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Memetik Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penarikan semula status moratorium ke atas beberapa akta tersebut dipersetujui jemaah Kabinet setelah diusulkan oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada Jumaat lalu.

Penarikan semula status moratorium ke atas beberapa akta itu dipersetujui jemaah menteri bagi memberikan kuasa penuh kepada pihak kese­lamatan untuk bertindak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terkawal. - K! ONLINE