Turut ditahan dalam operasi pukul 11.10 malam itu tekong warga Indonesia berusia 50 tahun bersama enam awak-awak warganegara sama berusia 22 hingga 36 tahun.  

Timbalan Pengarah Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, penahanan itu dibuat selepas pengesanan radar sistem pengawasan laut Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Lumut, Perak menunjukkan sebuah bot barter mencurigakan memasuki perairan negara ini.

"Sepasukan anggota DM5 yang digerakkan ke lokasi tersebut dan pemeriksaan lanjut di dalam bot menemui 1,200 kotak besar mengandungi rokok jenama U2 dan Canyon bernilai RM1.8 juta (termasuk cukai)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Linggi di sini hari ini.

Menurut Azman, selain membawa rokok seludup, kesemua warga asing itu didapati turut melakukan pelbagai kesalahan iaitu gagal melapor ketibaan, kapal dalam keadaan bergelap dan memasuki perairan Malaysia secara tidak sah yang melanggar peraturan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Akta MSO 1952).

"Mereka (suspek) juga melakukan kesalahan iaitu nombor dokumen perjalanan tidak sama dengan senarai awak-awak selain beberapa kesalahan di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Bot yang dirampas dibawa ke pangkalan DM5 manakala kesemua suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan lanjut. - K! ONLINE