Mereka yang terdiri daripada 27 orang dewasa, (23) kanak-kanak, (dua) warga emas dan seorang bayi itu mula dipindahkan kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Antara kawasan terjejas kerana banjir kilat ialah di kawasan perindustrian dan Flat Mak Mandin, Kampung Lahar Ikan Mati, Kampung Setol, Kampung Merbau Kudung, Kampung Sungai Lokan dan Kampung Chegar di Butterworth.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa diletakkan di bawan perhatian dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Sebagai penyelesaian jangka pendek, kita akan menjalankan kerja pembersihan dan penyelenggaraan serta memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran sedia ada.

"Selain itu, kita juga akan melaksanakan pembaikan segera ke atas semua struktur yang telah rosak di kawasan kejadian," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Difahamkan mangsa akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat selepas air dikatakan mulai surut.

Sementara itu, di Balik Pulau dekat sini, beberapa buah rumah di Teluk Kumbar turut dilaporkan dinaiki air melebihi paras buku lali iaitu Flat Sri Indah; Kampung Pulau Betong; Permatang Tengah dan Kampung Sulup.

Beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku sejak petang semalam dan lewat pagi tadi termasuklah di Jalan Paya Terubong menuju ke Relau dan ke Air Itam. - K! ONLINE