Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata, penerbangan yang terjejas termasuk yang akan tiba dan berlepas dari KLIA dan KLIA2 dalam tempoh tertentu bermula dari 27 hingga 31 Ogos ini antara pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi, bagi tujuan raptai, latihan dan “flypast” sebenar.

Berikutan kedudukan Putrajaya yang begitu hampir dengan KLIA dan KLIA2, Kementerian Pengangkutan berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diarahkan untuk menutup ruang udara di sekitar KLIA dan KLIA2 serta kawasan berhampiran dengannya.

 “Penutupan sementara ruang udara KLIA dan KLIA2 adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan flypast Hari Kebangsaan 2018 dan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan ruang udara serta peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan KLIA2.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pengangkutan dan CAAM ingin mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemaskini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan kepada penumpang terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Bernama