Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Darren John berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.06 pagi dan tiga jentera dengan 16 anggota serta pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi pemadaman bermula pukul 1.16 pagi dan api dapat dikawal sejam kemudian menggunakan sumber air sungai berdekatan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarelawan Zon Silam," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, seorang mangsa kebakaran, Alawaddin Unding, 64, berkata ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh anaknya.

"Saya sempat meminta anak-anak membawa keluar barang atau dokumen penting dari rumah dan mujur dokumen pengenalan diri dapat diselamatkan,"katanya. - Bernama