Kebimbangan itu kini kembali menghantui penduduk daerah ini apabila Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar baru-baru ini mengumumkan moratorium dikuatkuasakan bermula Januari 2016 bakal ditamatkan 31 Mac depan.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar mempersoalkan keputusan kerajaan yang membenarkan semula aktiviti perlombongan bauksit di daerah ini.

Noor Jehan berkata, standard prosedur operasi (SOP) yang mensyaratkan bijih bauksit bercampur tanah harus dicuci sebelum dieksport seperti ditetapkan kerajaan juga sewajarnya dinyatakan secara telus kepada penduduk daerah ini.

"Di mana (bijih bauksit) akan dicuci dan ke (sungai) mana air sisa cucian akan mengalir, ini semua mesti diberitahu kepada penduduk.

"Pada 2015 lalu, kita telah hadapi pelbagai jenis pencemaran dengan kekotoran yang merosakkan kawasan sekitar disebabkan debu tanah dari lori yang dipandu secara berbahaya.

"Ada pula beberapa kejadian kanak-kanak lemas di lombong bauksit. Masalah apa yang boleh diselesaikan melalui penamatan moratorium ini?" soal beliau.

Mengimbas sepanjang 2015 lalu, beberapa laluan utama sekitar Bukit Goh dan Jalan Kuantan Bypass menuju Pelabuhan Kuantan di sini pernah dicemari debu-debu yang berterbangan jatuh daripada ratusan lori pengangkut bauksit.

Keadaan itu juga mengakibatkan kedai makan, premis runcit, rumah serta tanaman diselimuti debu-debu merah yang disifatkan penduduk di sini sebagai tidak ubah seperti permukaan 'Planet Marikh'.

Sehubungan itu, Noor Jehan menuntut penguatkuasaan tegas dan berkesan serta mengambil tindakan segera ke atas mana-mana pihak termasuk penjawat awam sekiranya cuba melindungi pelombong yang melanggar peraturan ditetapkan.

"Sebelum ini (2015), berleluasa tonto yang diupah menjaga kepentingan pelombong. Korupsi (rasuah) melibatkan penjawat awam juga pernah berlaku.

"Akhirnya penduduk hilang sabar dan membakar lori-lori bauksit seperti yang pernah berlaku disebabkan terlalu marah kerana masalah dihadapi mereka tidak didengari pada masa itu," tegasnya. - K! ONLINE