Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kad Gen-T yang berkonsep e-wallet itu mampu memberi pelbagai manfaat kepada pelajar khususnya potongan harga istimewa di premis yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, kad tersebut boleh digunakan di premis-premis seperti restoran makanan segera, Chicken Cottage, penginapan di Hotel Primula dan Duyong Marina Resort, Taman Tamadun Islam, Hospital Kuala Terengganu Specialist serta Kedai Buku Banggol. 

"Kad Gen-T itu berfungsi sebagai kad diskaun untuk pembelian buku, makanan, tiket wayang, penginapan termasuk potongan harga ubat-ubatan di antara lima hingga 30 peratus.

"Sebagai permulaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100 bagi setiap kad sebagai saguhati yang akan diagihkan kepada pelajar membabitkan perbelanjaan berjumlah RM4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali Ke-39 Tahun 2018 dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2017 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri Terengganu, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin. - K! ONLINE