Pelarian lelaki yang rata-rata berusia lingkungan 20-an itu ditemui dalam keadaan kelaparan dan lesu oleh penduduk kampung kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Mereka dipercayai telah menempuh perjalanan hampir seminggu dari negara asal sebelum ditinggalkan tekong kira-kira pukul 4 pagi ini.

Pelarian tersebut kemudian terpaksa meredah lumpur sejauh kira-kira 750 meter untuk sampai ke pantai di Kampung Sungai Belati.

Kawasan itu terletak kira-kira 500 meter dari lokasi pendaratan kumpulan pertama membabitkan seramai 35 pelarian Rohingya terdiri daripada 26 wanita serta empat kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan pada 1 Mac lalu.

Seorang penduduk, Rosmi Ismail, 51, berkata, dia menerima maklumat berhubung penemuan pelarian di pesisir pantai itu daripada penduduk kampung dan terus bergegas ke lokasi.

"Pakaian pelarian Rohingya ini dipenuhi lumpur kerana mereka terpaksa meredah lumpur untuk sampai ke pantai sebelum mereka membersihkan pakaian di sungai berhampiran.

"Penduduk kampung yang berada di situ membantu memberikan air dan makanan kepada kumpulan pelarian tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis dan operasi yang dilakukan menemui beberapa lagi pelarian di kawasan kampung berhampiran.

"Salah seorang pelarian yang boleh bercakap bahasa Melayu memberitahu mereka memilih tarikh pada awal bulan untuk mendarat kerana air cetek selain memaklumkan ada lagi kumpulan yang akan mendarat dalam masa terdekat," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya dengan bantuan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kuala Perlis berjaya menahan kesemua pelarian yang berpecah dengan sebahagiannya telah masuk ke kawasan kampung berhampiran.

"Semua pelarian diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut," tambahnya. - K! ONLINE