Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 35 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 69 tahun.

Menurutnya, operasi khas itu dilancarkan berikutan kejadian bunuh kejam membabitkan seorang ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini 17 Disember tahun lalu.

"Rentetan kejadian bunuh kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, pihak kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu kesemua penjenayah yang mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

"Hasilnya kita berjaya memberkas 35 lelaki tempatan melalui beberapa siri tangkapan di seluruh negara dan kita masih lagi memburu lebih 40 saki baki ahli kumpulan geng ini," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, hasil serbuan itu, polis turut berjaya merampas pelbagai kenderaan mewah termasuk Toyota Velfire, Mercedes-Benz, Vokswagen; pelbagai jam jenama mewah serta wang tunai bernilai kira-kira RM6.5 juta.

Ujarnya, hasil risikan maklumat dan siasatan dijalankan, selain mendalangi beberapa kes jenayah kekerasan, kumpulan Geng 360 turut disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negeri inu serta aktif merekrut ahli baru bagi memperluaskan pengaruh dan kuasa.

Jelas Mohd. Khalil, kesemua tangkapan ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

"Mereka akan dituduh Mahkamah Johor Bahru esok mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE