"Risiko kegagalan jantung dalam kalangan pesakit diabetes adalah antara tiga hingga lapan kali ganda lebih daripada mereka yang tidak menghidap diabetes, disebabkan keadaan paras gula tinggi, berat badan berlebihan, tekanan darah, tabiat merokok, kadar kolesterol tinggi dan senaman yang kurang.

"Lebih malang masalah kegagalan jantung ini selalunya hanya akan disedari pesakit dalam tempoh lima hingga 15 tahun selepas disahkan menghidap diabetes," katanya kepada Bernama selepas menjadi anggota panel bagi '11th Diabetes Complications Conference and Grand Rounds' anjuran Institut Diabetes Negara (NADI) di Hotel Istana, Jalan Chulan hari ini.

Menurut Sazzli Shahlan, kegagalan jantung itu melibatkan dua kategori iaitu otot jantung menjadi lemah (HFrEF) dan otot jantung mengeras (HFpEF).

Bagi kebanyakan kes melibatkan pesakit diabetes, otot jantung menjadi lemah bukan disebabkan salur darah tersumbat seperti yang selalu dialami oleh pesakit jantung biasa, sebaliknya disebabkan paras gula dalam darah yang tinggi sehingga menyebabkan otot jantung mengeras sekali gus menjadikan jantung pesakit lemah.

"Apabila paras gula dan bilangan protein 'advanced glycation end products'(AGEs) adalah tinggi, jantung akan mula mengeras sekiranya pesakit berjalan dengan laju, menaiki tangga, menghadapi tekanan dan demam.

"Malah bagi sesetengah kes, paras gula yang tinggi akan menyerang saraf di sekeliling jantung sehingga menyebabkan saraf itu mati (tidak berfungsi) dan apabila jantung mula sakit, pesakit tidak dapat merasainya," kata beliau.

Justeru, bagi mengelakkan masalah kegagalan jantung, pesakit diabetes diingatkan supaya membuat pemantauan berkala dan mengawal faktor risiko dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang. 

Sazzli Shahlan turut menekankan pengambilan kalori yang rendah dan meningkatkan pengambilan fiber bagi mengurangkan keradangan kimia, sekaligus merendahkan risiko diabetes dan kegagalan jantung. - Bernama