Presiden PMB, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan untuk mendakwa Rosmah adalah satu tindakan zalim daripada kerajaan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa beliau dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perompak harta rakyat.

“Saya ingin beritahu bahawa kita dapat makluman Rosmah tidak dibenarkan untuk di ikat jamin selepas didakwa di mahkamah dan arahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didalangi Amerika Syarikat supaya kadar ikat jamin mestilah yang paling tinggi supaya tidak dapat dibayar dan terpaksa tinggal di Penjara Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Solidariti4KakRos di sini malam tadi.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut ialah pelakon, Elly Suriati dan penyokong-penyokong pertubuhan bukan kerajaan itu yang memakai baju berwarna jingga kelihatan sama seperti baju lokap SPRM.

rosmah
Penyokong PMB memakai baju berwarna jingga yang kelihatan seperti baju lokap SPRM.

 

Terdahulu, Rosmah bakal dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi hari ini untuk berhadapan dengan beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM, penahanan itu dibuat selepas siasatan berhubung pengubahan wang haram itu telah selesai dan mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Kali terakhir Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan ialah pada 26 September lalu dan disoal siasat hampir 13 jam.

Kali pertama Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM ialah pada 5 Jun lalu dan disoal siasat lebih lima jam.

Sebelum ini, media melaporkan Rosmah mungkin berdepan sehingga 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan penggubahan wang haram. - K! ONLINE