Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baki daripada jumlah peminjam berkenaan iaitu sebanyak 168,289 nama dijangka dikeluarkan daripada sistem senarai hitam JIM pada 15 Jun ini.

"Susulan kenyataan rasmi daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengenai pelepasan sekatan keluar negara terhadap peminjam PTPTN, JIM telah mula mengeluarkan nama peminjam daripada sistem kawalan imigresen secara berperingkat mulai 1 Jun lalu.

"Mengikut rekod, sebanyak 433,708 nama peminjam PTPTN yang disenarai hitam sejak tahun 2000 hingga 23 Mei 2018. Sehingga 4 Jun 2018, sebanyak 265,149 nama telah dibatalkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja serta diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Datuk Seri Mustafar Ali di ibu pejabat JIM di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kemudahan pelepasan sekatan keluar negara itu terpakai kepada peminjam yang nama mereka masih berada dalam sistem yang mana semua pintu masuk seluruh negara telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Bagi individu yang disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Hasil (LHDN) pula, mereka dibenarkan keluar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun 2018 selaras dengan surat arahan agensi yang diterima JIM pada tarikh sama.

"JIM mengambil tindakan menyelaraskan senarai hitam berkenaan dalam sistem untuk memastikan pelaksanaan pelepasan senarai hitam oleh LHDN.

"Sehingga kini, rekod dalam senarai hitam JIM mencatatkan jumlah sebanyak 636,202 orang yang masih disenarai hitam oleh agensi-agensi lain," katanya. - K! ONLINE