Mereka yang berusia antara 33 hingga 53 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Negeri Pulau Pinang antara pukul 10.15 pagi hingga 3.15 petang tadi.

Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ dari Gred 22 hingga Gred 29 yang bertugas di Pejabat JPJ Pulau Pinang dan dua bekas anggota APAD Wilayah Utara itu dipercayai menerima bayaran secara bulanan sejak 2016 dengan jumlah wang rasuah terkumpul melebihi RM80,000.

"Tangkapan ini merupakan siasatan peringkat ketiga susulan penahanan 58 pegawai penguat kuasa JPJ dan orang awam pada 16 April dan 20 April lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Sumber berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan serta direman SPRM adalah seramai 79 orang.

Katanya, SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 46 orang penguatkuasa JPJ telah memberi keterangan iaitu pada Rabu dan Sabtu lalu termasuk yang sedang direman dan telah dibebaskan dengan jaminan. - K! ONLINE