Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata, Jho Low mulai rapat dengan keluarga Najib sejak beliau mengenali Riza Shahriz semasa zaman remaja mereka dan semasa berurusan dengan ahli perniagaan itu beberapa kali, yang beliau (Jho Low) sendiri memaklumkan bahawa beliau rapat dengan keluarga berkenaan.

"Dalam pengetahuan saya, Datin Seri Rosmah Mansor juga sangat rapat dengan Jho Low kerana saya perasan Jho Low kerap menerima panggilan daripada Datin Seri Rosmah tetapi butiran perbualan mereka tidak pernah saya ambil tahu," katanya ketika membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Riza Shahriz yang memperkenalkan Jho Low kepada ibunya, Rosmah.

"Riza Shahriz juga memberitahu bahawa Datin Seri Rosmah tidak mempunyai halangan untuk Jho Low rapat dengan keluarga mereka," katanya yang memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Amhari Efendi, yang merupakan seorang daripada saksi penting pendakwaan turut memaklumkan bahawa Jho Low sering memberitahunya bahawa beliau banyak kali berjumpa dengan keluarga Najib dan lebih tahu rancangan yang telah disusun oleh keluarga Najib yang perkara tersebut kadangkala berada di luar pengetahuannya sendiri sebagai pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu.

Menceritakan mengenai perkenalannya dengan Jho Low, saksi pendakwaan kelapan itu berkata pertemuan pertama mereka berlaku dalam tahun 2007 iaitu sebelum beliau bertugas sebagai pegawai khas kepada Najib.

"Saya mula mengenali Jho Low yang saya panggil Jho semasa saya menjadi pegawai khas kepada Menteri Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi.

"Pada masa itu, Mohd Effendi mempunyai seorang pegawai komunikasi bernama Dennis See. Dalam satu urusan kerja Mohd Effendi di Pulau Pinang, Dennis telah mengajak saya untuk keluar berjumpa dengan seseorang yang sangat rapat dengan Najib, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Pertahanan," katanya yang turut memaklumkan bahawa Dennis juga memberitahu bahawa Jho Low sangat rapat dengan keluarga Najib.

Amhari Efendi, yang memegang jawatan sebagai pegawai khas Najib selepas Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2009 berkata beliau telah berjumpa dengan Jho Low di sebuah restoran di Georgetown dan semasa pertemuan itu, beliau mendapati cara Jho Low bercerita berkaitan keluarga Najib seolah-olah ahli perniagaan itu berada dalam inner circle keluarga Najib dan Rosmah.

Sebelum itu beliau menjawat jawatan sama semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Pada hari pertama saya melapor diri sebagai pegawai khas TPM pada September 2008, Jho Low ada menghubungi saya melalui pesanan ringkas yang mengatakan 'Bro, saya dengar anda berada di Pejabat TPM, tahniah dan kita akan saling berhubung,” katanya.

Amhari Efendi, yang kini tidak bekerja turut memaklumkan bahawa mengikut fahamannya, maksud Jho Low ialah mereka akan selalu berjumpa dan selalu berhubung disebabkan beliau (Jho Low) sendiri rapat dengan bossnya iaitu Najib.

"Saya pasti Jho Low mendapat tahu saya mula bertugas di pejabat TPM daripada Najib sendiri atau Rosmah kerana beliau memang rapat dan kerap berjumpa dengan mereka berdua (Najib dan Rosmah)," katanya.

Dalam pada itu, Amhari Efendi berkata beliau telah ditemu duga oleh Najib sendiri di kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi jawatan pegawai khas TPM, yang ketika itu disandang oleh Najib.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama