Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa khas yang dicadangkan bagi meneliti masalah itu antaranya akan melihat semula undang-undang sedia ada.

Ini termasuk kemungkinan mewajibkan pengasuh yang menjaga kurang daripada empat kanak-kanak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan kawal selia.

"Pada masa ini, yang perlu berdaftar dan kawal selia hanyalah bagi pengasuh yang menjaga lebih daripada empat kanak-kanak," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Isa Ab. Hamid mengenai usaha menangani kes penderaan dan kecuaian di pusat penjagaan.

Kementerian juga, katanya, akan mewujudkan piawaian kompetensi untuk diguna pakai pengasuh kanak-kanak, merangkumi aspek keselamatan, latihan dan kemahiran asas yang diperlukan. 

Selain itu, beliau berkata, statistik JKM menunjukkan terdapat 4,302 taska yang beroperasi di premis dan jabatan kerajaan setakat Jun lepas. - Bernama