Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bakinya pula akan dimasukkan ke agensi atau skim latihan bersesuaian.

"Keputusan mesyuarat semalam memutuskan mereka yang dilantik semula akan diserap ke dalam program lain seperti program Podium ataupun Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dengan mengambil kira kemahiran, kualiti displin dan rekod integriti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang III Penggal ke-31 Tahun 2017-2018 di Pusat Belia Antarabangsa dekat Cheras hari ini.

Jumaat lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan kesemua 303 kakitangan terbabit hanya dimaklumkan mengenai kedudukan mereka sebulan sebelum tarikh kontrak tamat pada 31 Disember ini.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, KBS bersedia disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)  seperti yang disarankan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.

"Dalam bab ini, kementerian ambil teguran dan cadangan itu dengan serius, kita akan perhalusi satu per satu, sekiranya wujud salah laku kita akan laporkan dan ambil tindakan susulan. KBS akan pastikan budaya intergriti akan terus diangkat," katanya.

Berdasarkan siri dua Laporan Audit Negara 2017 semalam, PAC disyorkan menyiasat KBS dan Kementerian Pengangkutan susulan teguran secara punitif ke atas kedua-duanya oleh Ketua Audit Negara. - Bernama