Program jualan itu dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi namun orang ramai dilihat tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli durian kampung yang ditawarkan dengan harga RM5 sekilogram dan durian klon pada harga RM10.

Seorang pembeli, Noraini Abdul Ghani, 38, dari Kampung Rhu Dua, Marang, berkata, demi mendapatkan durian yang dijual pada harga istimewa, dia sanggup beratur hampir sejam di pekarangan pejabat FAMA. 

“Saya dapat tahu mengenai program ini melalui kiriman WhatsApp dan sanggup datang dari Marang untuk membeli durian memandangkan kami sekeluarga memang gemar menikmatinya. 

“Tahun lalu memang sukar untuk dapatkan durian tetapi tahun ini saya lihat banyak yang dijual di tepi jalan namun harga yang ditawarkan oleh pihak FAMA jauh lebih murah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Pejabat FAMA, Jalan Hiliran hari ini.

Tinjauan Kosmo! di tapak jualan juga mendapati hampir 1,000 pengunjung berpusu-pusu menyerbu gerai buah-buahan bermusim seperti manggis, rambutan, jagung, salak, cempedak, nenas dan labu manis. 

Sementara itu, Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamad berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 16 metrik tan buah-buahan bermusim pada program julung kali yang diadakan itu. 

“Jualan ini mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung apabila enam metrik tan durian kampung serta satu metrik tan durian klon habis terjual dalam masa beberapa jam sahaja walaupun program dijadual tamat pada pukul 7 malam," katanya. - K! ONLINE

Orang ramai menyerbu ke gerai jualan buah durian dengan harga istimewa sempena Jualan Buah-buahan Bermusim anjuran FAMA Negeri Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.