Menteri Besar yang juga ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man mendahului senarai majlis pelantikan itu dihadapan Speaker DUN yang baru dilantik semula iaitu Datuk Hamdan Bahari sebelum disusuli lapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, tiga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian mengambil giliran mengangkat sumpah sebelum diikuti dua ADUN Pas dan seorang Bebas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, BN memenangi 10 kerusi DUN, PKR (tiga) dan Pas pula memenangi dua kerusi DUN.

Namun, ADUN Tambun Tulang dari BN, Datuk Ismail Kassim yang merupakan adik bongsu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan keluar parti pada 20 Jun lalu dan bertindak sebagai ADUN Bebas yang bersifat kritikal.

Mesyuarat Pertama bagi Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Perlis yang ke-14 akan mula bersidang selama tiga hari bermula 23 Julai ini dan bakal dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. - K! ONLINE