Mereka yang terdiri daripada 10 pelajar wanita dan dua lelaki merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK juga tinggal sehelai sepinggang apabila hampir semua barangan peribadi mereka ditenggelami air.

Pengerusi Persatuan Pelajar Tekstil dan Fesyen UMK, Areree Abu Bakar, 24, sewaktu kejadian berlaku, hujan lebat dan sungai berhampiran kediaman mereka dipercayai melimpah sehingga menyebabkan air di kawasan tersebut naik pada paras pinggang.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan mereka gagal menyelamatkan pelbagai barangan kecuali pasport, komputer riba dan beberapa helai pakaian.

“Kejadian itu berlaku pada malam 26 Januari lalu. Ketika itu kami sedang bersiap-siap untuk tidur namun, jiran terdekat memaklumkan air sungai Pekalongan melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir.

“Kami juga terpaksa meredah air pada paras pinggang sewaktu dalam perjalanan ke sebuah madrasah untuk menyelamatkan diri sebelum kami berpindah ke pusat pemindahan banjir di sebuah sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Kesemua pelajar yang menjalani latihan perindustrian selama dua semester atau lapam bulan dalam sektor pembuatan batik di daerah tersebut tiba di KLIA2 kira-kira pukul 1.15 pagi tadi sebelum pulang ke rumah keluarga masing-masing.

Ketibaan mereka yang menaiki pesawat AirAsia AK354 turut disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Syazwani Badrus Sham,24, memberitahu, sebaik tiba di tempat pemindahan banjir, mereka terpaksa bermalam di situ sehingga keesokan hari sebelum sebuah van disediakan tiba membawa kesemua mereka itu ke Jakarta.

"Perjalanan Pekalongan ke Jakarta mengambil masa selama lapan jam atau kira-kira 350 km. Nasib kami baik apabila laluan darat ke sana tidak ditenggelami banjir.

"Sebaik tiba di Jakarta, kami ditempatkan di Malaysia Hall dengan bantuan pejabat Kedutaan Malaysia sebelum dihantar pulang ke Malaysia,” katanya.

Jelasnya, dalam kejadian tersebut, dia dan rakan-rakannya amat terkilan apabila gagal menyelamatkan peralatan bagi latihan perindustrian seperti alat mewarna, kain dan kertas yang dianggarkan berjumlah RM2,000.

Tambahnya, mereka juga berharap dapat kembali ke Pekalongan untuk meneruskan latihan industri namun, ia bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan tersebut. - K! ONLINE