Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan data Jabatan Bomba dan Penyelamat seramai 260 kes dicatatkan berlaku pada tahun 2016 dan 377 kes bagi tahun 2017.

Katanya, dalam dua bulan pertama pada tahun ini sahaja sebanyak 65 insiden mati lemas telah direkodkan dan data yang diperoleh.  

“Sudah sampai masa untuk kita buat undang-undang kecil kalau ada sesiapa langgar papan tanda boleh dikenakan hukuman kalau setakat letak dilarang mandi orang tidak berapa ambil berat jadi kita cadang wujudkan undang-undang kecil dan ini akan kita bincang lagi secara mendalam,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di sini hari ini.

Lokasi yang telah dikenal pasti ialah Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah; Sungai Kampung Timah, Selangor; Sungai Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan; Sungai Chiling, Selangor; Sungai Gasi, Selangor; Air Terjun Sungai Sendat, Selangor; Air Terjun Lata Berembun, Raub, Pahang; Air Terjun Chamang, Pahang; Pantai Nipah, Kelantan; Muara Tok Bali, Kelantan; Teluk Bahang, Pulau Pinang dan Empangan Semenyih, Selangor.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Ketua Setiausaha Kementerian KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek

Dalam pada itu, Noh turut mengumumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan bertugas di lokasi yang telah dikenal pasti itu sepanjang musim cuti sekolah.

“Kita juga akan mewujudkan garis panduan pengurusan kolam renang supaya pengguna tahu apa boleh dan tidak boleh mereka lakukan kerana pandai berenang dengan keselamatan di air adalah dua perkara yang berbeza,” jelas beliau.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut memutuskan supaya subjek keselamatan air perlu diajar dalam matapelajaran pendidikan jasmani di sekolah-sekolah.

“Tidak semestinya subjek ini memerlukan kolam renang tetapi tanpa kolam renang juga ia boleh diajar kepada pelajar supaya dapat mengingatkan mereka tentang keselamatan di air yang telah menyebabkan kematian semakin meningkat saban tahun,” katanya.

Ujar beliau, satu pusat data akan diwujudkan yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan supaya dapat mengenal pasti jumlah sebenar orang yang mati lemas atau terselamat dari kejadian lemas. - K! ONLINE