Perkara itu dimaklumkan peguam N.Rajivan yang mewakili Rosmah dalam pengurusan kes itu katanya dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar, Siti Faraziana Zainuddin.

Menurut Rajivan permohonan pihaknya untuk membatalkan saman itu juga akan didengar pada tarikh sama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin.

Rajivan berkata, pihaknya memohon untuk membatalkan saman berkenaan dengan alasan ia melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Jelasnya, ia adalah kerana plaintif iaitu syarikat barang kemas Lebanon itu perlu terlebih dahulu mendapatkan keizinan bertulis daripada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan saman sivil berkaitan akta berkenaan.

"Selain itu alasan lain ialah tuntutan indemnity (tanggung rugi) oleh plaintif adalah pramatang kerana barangan kemas terbabit hanya dirampas dan belum ada kerugian di pihaknya (plaintif).

"Ini kerana anak guam kami secara salah dinamakan sebagai defendan kerana barangan itu sekarang di bawah jagaan pihak berkuasa dan bukan di bawah jagaannya," katanya. 

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke ketika ditemui pemberita berkata, pernyataan tuntutan Global Royalty Trading SAL mendakwa bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa 44 barangan kemas miliknya dirampas dan berada di bawah simpanan pihak berkuasa.

Alice memberitahu, berikutan dakwaan plaintif dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan menegaskan jika dibuktikan barangan kemas terbabit dirampas berkaitan dengan siasatan bagi perbuatan salah laku jenayah, ia hendaklah dirampas dan menjadi milik kerajaan.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan Rosmah menafikan ada membeli mana-mana barang kemas daripada syarikat pemborong barang kemas dari Lebanon. - K! ONLINE