Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Ridzuan Ab Ghapar berkata jumlah aduan itu adalah rendah  jika dibandingkan dengan aduan diterima selepas enam hari pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebelum ini.

"Lapan aduan diterima itu berkenaan harga makanan di restoran terutamanya kedai mamak dan tiga lagi mengenai kenaikan harga barang...sewaktu pelaksanaan GST dahulu lebih banyak aduan," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan Ops Catut 5.0 di sini hari ini.

Ops Catut 5.0 yang dijalankan dengan kerjasama antara KPDNHEP dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang hari ini membuat pemeriksaan pelaksanaan SST terhadap dua perusahaan, TORTO Food Industries dan Pusat Perkhidmatan Servis Audi.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Said Ismail yang turut hadir dalam operasi itu, berkata pemilik perusahaan perlu lebih bertanggungjawab untuk mendaftarkan syarikat mereka demi melicinkan pelaksanaan SST khususnya sektor kilang.

"Setakat ini hanya ada 5,200 perusahaan berdaftar di Pulau Pinang sedangkan sewaktu GST dahulu ada 30,000 perusahaan berdaftar. Pemilik perlu ambil tindakan segera sebelum dikesan pihak berkuasa," katanya. - Bernama