Pengerusi Jawatankuasa Program Perarakan Jalur Gemilang Bot Penambang Seberang Takir, Datuk Andri Aidham Ahmad Badri berkata, program bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tersebut turut disertai 110 penduduk tempatan.

Beliau berkata, kesemua bot penambang tersebut mula berarak dari Jeti Nelayan Seberang Takir di sini dan menyusuri beberapa kawasan tarikan pelancongan sekitar seperti Jambatan Angkat Terengganu, Pulau Warisan, Pasar Payang, Jambatan Sultan Mahmud, Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Sekati dan Pulau Duyong.

"Ini penganjuran kali ketiga sejak tahun 2016 sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.

"Ia juga bagi menonjolkan bot penambang yang merupakan ikon pengangkutan sungai menghubungkan Seberang Takir di sini dengan bandar raya, Kuala Terengganu sejak zaman awal kemerdekaan negara," katanya kepada Kosmo! di sini semalam. - K! ONLINE