Difahamkan, semua ADUN itu dipanggil menghadap Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk membolehkan baginda mengenali latar belakang, tahap pendidikan dan status mereka.

"Setiap ADUN masing-masing bertemu dengan Tuanku (Raja Perlis) selama kira-kira 30 minit untuk baginda mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

"Namun, isu pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu masih belum dimuktamadkan lagi," katanya ADUN Santan, Azizan Sulaiman di luar Istana Arau di sini hari ini.

Sesi pertemuan itu bermula pada pukul 3 petang tadi.

Azizan merupakan salah seorang calon Menteri Besar yang dikemukakan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Dua invidu lain yang dicalonkan untuk menjawat jawatan nombor satu di Perlis ialah ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang merupakan adik bongsu Shahidan dan ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.

Penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man juga dikatakan akan menyambung kembali tugasannya untuk satu penggal lagi.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum melantik Menteri Besar yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). - K! ONLINE