Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah saman itu membabitkan kesalahan had laju (1,121) dan kesalahan lampu isyarat (147).

“Operasi ini melibatkan penguatkuasaan kesalahan yang dirakam melalui kamera bagi dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pengambilalihan oleh JPJ itu meliputi penguatkuasaan bagi pengoperasian ke atas 45 buah kamera AWAS yang terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 buah kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

"Pada masa yang sama terdapat dua lagi lokasi dalam proses mendapatkan kelulusan pemasangan daripada pihak berkuasa tempatan iaitu satu lokasi bagi kesalahan memandu melebihi had laju serta satu lokasi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah," ujarnya.

Anthony berkata, secara keseluruhannya, hingga akhir tahun ini, JPJ akan menguatkuasakan kesalahan AWAS di kesemua 47 lokasi.

"Orang ramai boleh menyemak senarai terkini lokasi-lokasi kamera AWAS menerusi laman web JPJ di www.jpj.gov.my," katanya.