Penyerang cilik berusia 18 tahun itu langsung tidak menunjukkan aksi kekok setiap kali diturunkan meskipun kejohanan tersebut adalah penampilan pertamanya di pentas antarabangsa peringkat senior.

Walaupun bertubuh kecil tetapi kehadiran pemain kelahiran Pahang itu amat penting kerana dapat menambah sengat bahagian serangan Malaysian Tigress hingga berjaya menjaringkan tiga gol peribadi.

“Mula-mula agak gementar kerana ini adalah kejohanan senior pertama saya apatah lagi menjangka untuk menjaringkan gol di sana.

“Saya dapat mengatasi rasa gugup selepas mendapat sokongan padu dan semangat yang diberikan oleh pemain-pemain senior.

“Saya rasa amat berbaloi dapat bermain dan jaringkan gol di sana. Sekarang saya sudah tunjukkan kemampuan kepada jurulatih,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Dhaarma sebelum ini sudah berkira-kira mahu menggugurkan nama Zulaikha, namun pada saat-saat akhir mengubah fikiran dan menyenaraikannya selepas terpikat dengan aksi bertenaga yang dipamerkan di Eropah untuk menghadapi kejohanan tersebut.

Tiga gol jaringannya selain kejayaan meraih tempat ketiga kejohanan itu secara tidak langsung meningkatkan keyakinan Zulaikha untuk bersaing mengekalkan tempatnya dalam skuad senior selepas ini.

Sementara itu, Dhaarma mendedahkan, program latihan skuad bimbingannya telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Majlis Sukan Negara untuk diteruskan sebagai langkah bersiap sedia seandainya mendapat tempat beraksi pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 sekitar Oktober depan. - K! ONLINE