Meskipun berada pada pres­tasi terbaik selepas berjaya melangkah ke suku akhir Kejuaraan Dunia di Basel, Switzerland minggu lalu, pemain No. 13 dunia itu bagaimanapun mengakui dirinya masih perlu bekerja keras bagi meningkatkan lagi tahap permainan.

Ini kerana, pada saingan yang bakal berlangsung di Arena Taipei itu, Zii Jia yang memulakan saingan dengan bertemu pemain kelayakan di pusingan awal, diramal berdepan wakil tuan rumah yang juga pilihan utama, Chou Tien Chen sekiranya mara ke separuh akhir.

Walaupun optimis dengan peluang untuk mengulangi pencapaian musim lalu, namun pemain berusia 21 tahun itu enggan terlalu memikirkannya, sebaliknya mahu kekal fokus terhadap satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Buat masa sekarang, ­prestasi saya berada dalam kea­da­an baik dan konsisten, jadi saya harap ia akan berte­rusan pada Terbuka Taiwan nanti. Saya tahu saingan dalam setiap kejohanan sentiasa sukar dan tidak boleh dipandang mudah.

“Persoalan sama ada saya mampu atau tidak untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, saya sendiri tidak pasti. Saya ha­nya mahu fokus terhadap satu demi satu perlawanan dan enggan terlalu memikirkannya,” kata Zii Jia.

Tambah pemenang pingat gangsa Kejuaraan Remaja Dunia 2016 itu lagi, dia sentiasa bekerja keras bagi memperbaiki corak permainannya termasuk berlatih ketika waktu cuti sebagai persiapan ke Terbuka Taiwan.

“Walaupun setiap kali cuti umum, saya dan rakan-rakan lain tetap berlatih, lebih-lebih lagi kami semua akan beraksi pada Terbuka Taiwan nanti. Pemain-pemain juga ketika ini bebas daripada sebarang kecederaan dan sudah pasti kami mahu catat keputusan baik di sana nanti,” ujarnya lagi.