Pemain kelahiran Jalan Langgar dekat sini itu, mengakui beliau berjaya mengatasi trauma Sukan SEA dan dapat mengawal tekanan apabila turun beraksi di hadapan penyokong tempatan hari ini.

Malah 'kematangan' itu juga membuahkan hasil apabila pemain berusia 19 tahun tersebut menyumbang mata kedua negara, selepas gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal berbuat demikian ketika menentang Thailand, semalam yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3.

Kecemerlangan itu diteruskan lagi hari ini ketika Malaysia menentang Myanmar dan beliau diturunkan selaku perseorangan pertama menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang direhatkan.

Zii Jia menang mudah ke atas Phone Pyae Naing 21-3, 21-10.

"Sebelum turun bermain, apatah lagi di kampung sendiri, (saya fikir) agak tertekan. Tapi jurulatih Misbun (Datuk Misbun Sidek) beritahu saya supaya jangan fikir banyak, main sahaja," kata bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keat Hwa H itu.

Zii Jia meletakkan Malaysia kembali di hadapan dengan 2-1 selepas menewaskan Avihingsanon 21-14, 21-12 dalam saingan Kumpulan C.

Dengan kemenangan dan kejayaan mengawal tekanan, Zii Jia mengakui ia membakar semangatnya untuk mengharungi perlawanan seterusnya, khususnya menentang Taiwan pada Khamis (esok).

"Saya rasa teruja diturunkan sebagai perseorangan pertama hari ini. Tapi apa yang lebih penting adalah perlawanan esok menentang Taiwan.

"Ini merupakan kemenangan kedua dan saya rasa lebih yakin untuk perlawanan esok dengan lawan saya Hsu Jen Hao. Saya kalah kepadanya tahun lepas di Terbuka New Zealand, tetapi ia saingan yang sengit sehingga ke rubber set," katanya.

Mengimbas kembali kenangan pahit di Sukan SEA 2017, ketika aksi final badminton berpasukan, Malaysia tewas mudah 0-3 kepada juara bertahan Indonesia. 

Zii Jia sendiri mengakui pada ketika itu, beliau sangat tertekan kerana terlalu mahu menyumbang mata namun terpaksa tunduk 11-21, 11-21 kepada Ihsan Maulana Mustoffa. - Bernama