Zii Jia akan membuat perhitungan dengan bekas pemain No. 2 dunia dari Denmark, Jan O Jorgensen pada pusingan pertama dan dia sedia menunjukkan jalan keluar kepada pemenang Piala Thomas 2016 itu.

Bagaimanapun, dia mengakui bukan mudah untuk melakar kemenangan ke atas Jorgensen biarpun pemain Denmark itu baru pulih daripada kecederaan lutut yang dialami tahun lalu.

“Harapan saya adalah untuk tewaskan Jan O (Jorgensen) pada pusingan pertama esok (hari ini). Bagaimanapun, saya perlu sedar bahawa bukan mudah untuk tewaskannya kerana dia pernah berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Saya fikir saya memiliki ke­lebihan untuk memenangi perlawanan itu nanti kerana dia baru pulih daripada kecederaan. Peluang ini harus digunakan sebaiknya,” kata Zii Jia ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu enggan meletakkan sebarang sasaran spesifik pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 berkenaan, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada satu demi satu perlawanan.

“Sebenarnya saya tidak mahu letak sasaran terlalu awal pada kejohanan ini kerana masih ada kelemahan perlu diperbaiki. Saya harap boleh catat keputusan membanggakan pada sai­ngan kali ini,” tambahnya.

Zii Jia yang merupakan pilihan kelapan kejohanan turut menjadikan Terbuka Switzerland sebagai salah satu pentas pemanas badan bagi mempersiapkan diri menjelang pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Dia yang akan beraksi selaku perseorangan kedua negara pada kejohanan itu turut me­ngakui prestasinya semakin menunjukkan peningkatan sejak awal tahun ini.

“Bagi saya, kejohanan ini boleh dianggap sebagai medan latihan sebelum ke Piala Tho­mas. Saya akui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan dipelajari kerana saya sasar untuk menampilkan aksi terbaik di Bangkok nanti,” ujarnya.