Zarco yang menamatkan saingan di kedudukan kedua GP Argentina bertekad mencari pelarasan sempurna jentera YZR-M1 sebaik sahaja tiba di Austin, Amerika Syarikat nanti.

“Litar Americas sangat cantik dan secara dasarnya ia merupakan trek paling sukar. Mempunyai 20 selekoh berbahaya dan tajam antara cabaran yang kami akan lalui hujung ming­gu ini.

“Sudah pasti litar yang teknikal seperti itu memerlukan ketahanan fizikal dan saya yakin kami tidak akan lalui tugas mudah di sini. Apa pun, selepas melakar kemenangan podium di Argentina, saya rasa kami mampu meraih keputusan yang positif.

“Saya harap dapat mencari ke­serasian bersama jentera pada sesi latihan Jumaat nanti. Sudah pasti podium adalah impian semua pelumba dan kami perlu bekerja keras untuk meraih satu lagi keputusan positif,” kata pelumba berusia 27 tahun tersebut.

Dua pusingan perlumbaan MotoGP sebelum ini menyaksikan Zarco terlepas untuk meraikan kemenangan pertama selepas hanya ditewaskan dengan perbezaan masa yang tidak terlalu ketara.

Pada perlumbaan di Qatar, Zarco menguasai perlumbaan 16 pusingan, namun sekadar meraih kedudukan kelapan sebelum pelumba kelahiran Perancis itu bangkit menaiki podium tempat kedua di Argentina. – Agensi