Presidennya, Bibi Ramjani ­Ilias Khan (gambar kecil) berkata, setakat ini badan induk itu berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh Yusri selepas melakar kemenangan berdepan Perak pada aksi Liga Super.

Menurutnya, bukan itu sahaja kemampuan Yusri membawa Kelantan mara ke pusingan ketiga Piala FA setelah menumpaskan Terengganu City FC turut menggembirakan pengurusan KAFA.

“Bagaimanapun KAFA terpaksa mencari jurulatih bagi memenuhi syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila jurulatih dan pembantu mesti mempunyai lesen A.

“Buat masa ini kita sedang meneliti beberapa calon untuk dibawa masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sathit Bensoh apabila jurulatih kelahiran Thailand itu digugurkan akibat ­prestasi hambar,” katanya.

Bibi Ramjani memberitahu, satu perjumpaan dengan barisan pemain akan diadakan bagi membincangkan beberapa perkara termasuk jurulatih.

Katanya, pandangan itu akan diambil kira sebelum membuat keputusan bagi mengelakkan mereka berdepan masalah pemilihan jurulatih.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, KAFA masih lagi belum membuat keputusan mengenai hasrat untuk melamar bekas pengendali skuad kebangsaan Syria, Fajer Ibarahim.

Katanya, buat masa ini Ibarahim sudah pulang ke negara asalnya selepas salah seorang ahli keluarga terlibat dalam kemalangan.

Yusri membuktikan magisnya apabila berjaya membebaskan Kelantan dari belenggu kekalahan dengan memberikan kemenangan sulung ketika menewaskan Perak 3-2 pada aksi Liga Super.

Selepas itu, sentuhan Yusri makin tajam apabila memastikan Kelantan layak ke pusingan ketiga Piala FA 2018 selepas menyingkirkan Terengganu City FC 2-0.