Pemain China berusia 24 tahun di ranking No. 65 dunia itu tidak pernah melangkah ke pentas final, namun dia berjaya bangkit menewaskan pemain pilihan­ No. 5 dari Rusia dengan keputusan 2-6, 6-3, 7-5.­

Yafan pada awalnya ketinggalan 6-2, 2-0 sebelum bangkit menemui rentak apabila Kenin, 20, dilihat bergelut untuk menampilkan aksi konsisten sebelum menyaksikan dia akur dibenam pemain No. 4 China itu.

“Final ini merupakan kali pertama buat saya di Acapulco dan saya amat menyukai aksi di sini. Ia adalah ming­gu yang menakjubkan. Ini adalah kejohanan yang bagus dan segalanya sangat menarik,” kata Yafan.

Yafan berjaya bangkit sebanyak dua kali selepas break pada set kedua dengan Kenin mendahului mata 40-15, namun bintang muda China itu enggan menoleh ke belakang apabila memenangi empat permainan terakhir untuk meng­heret perlawanan ke set ketiga.

Kenin yang memburu gelaran kedua musim ini berjaya mendahului permainan­ 40-0 pada set seterusnya, namun ia belum cukup untuk mematahkan kebangkitan Yafan pada pertemuan sulung mereka itu.

“Ia merupakan kali pertama saya ber­aksi di Acapulco, tapi malang­nya saya gagal untuk memenangi perlawanan ini. Bagaimanapun saya terima kekalahan ini dari sudut positif dan saya menikmati setiap saat keseronokan bersaing di sini,” kata Kenin. 
– Agensi