Atlet berusia 16 tahun itu muncul sebagai juara dengan me­ngumpul 9.48 mata, sekali gus mengatasi pencabar terdekat dari Sarawak, Elvic Bong Qian Zhen yang ketinggalan 0.08 mata.

Aksi tersebut turut menyaksikan atlet tunggal Melayu yang mewakili kontinjen Terengganu, Mohamad Afiq Danial Mohd. Firdaus Chua meraih gangsa dengan catatan 9.38 mata.

Seolah-olah mendapat semangat emas sulung, Melaka kemudian meraih dua lagi emas dan satu perak daripada lima acara yang dipertandingkan.

Menurut Shin Peng, kejayaannya meraih emas tidak datang bergolek, sebaliknya terpaksa menjalani latihan keras selama enam bulan semata-mata mahu menebus kekecewaan ekoran ke­gagalannya pada temasya sama di Sarawak dua tahun lalu.

“Saya berasa sangat gembira kerana dapat menghadiahkan pi­ngat emas pertama buat Melaka, malah ini ialah emas pertama pada Sukma 2018. Terima kasih kepada keluarga, jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan.

“Segala persiapan selama enam bulan akhirnya berhasil dan lebih menggembirakan adalah saya berjaya menebus kekecewaan dua tahun lalu selepas gagal membawa pulang sebarang pingat.

“Selepas ini saya menyasarkan untuk menyertai skuad kebangsaan dalam usaha untuk membuat penampilan pada Sukan Asia dan Kejohanan Remaja Dunia,” kata Shin Peng semalam.

Sementara itu, Tan Cheong Wan menghadiahkan emas kedua buat Melaka selepas memenangi acara gunshu (kayu) lelaki apabila me­ngumpul 9.58 mata, manakala emas ketiga hadir menerusi Tammy Tan Hui Ling yang menguasai acara jianshu (pedang) wanita pada aksi sebelah petang.