Wakil ibu kota itu mengumpul 136.250 mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor (110.600 mata) manakala pasukan tuan rumah, Perak mengutip 108.500 mata untuk memenangi gangsa.

Wilayah Persekutuan terus mengekalkan dominasi mereka selepas mempertahankan pingat emas gimrama acara berpasukan sejak Sukma 2012 Pahang melalui acara berpasukan melibatkan disiplin gelung, bola, belantan dan riben.

Rayna, 15, yang membuat penampilan kedua di pentas Sukma selepas meraih emas pada Sukma 2016 berkata, dia sangat gembira kerana dapat membantu pasukannya me­raih kejayaan bermakna ini.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan itu yang mana Rayna mahu memberikan fokus kepada persembahan acara individu di venue sama hari ini.

“Bagi saya, prestasi kami baik dan tidak melakukan sebarang kesalahan besar. Ha­nya silap kecil yang boleh diperbaiki untuk persembahan akan datang.

“Sukma adalah pentas pemanas badan sebelum saya berlepas ke Argentina beraksi pada Sukan Olimpik Remaja bulan depan. Saya tidak memikirkan saingan memandang­kan saya hanya fokus kepada persiapan sendiri untuk setiap rutin.

“Namun, saya tidak mahu terbawa-bawa kejayaan ini kerana kami akan bertan­ding dalam acara individu dan saingan menjadi lebih sukar memandangkan kami bersaing sesama sendiri esok (hari ini),” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Selangor menampilkan Cass Lim Yen Tung, Lai Yun Jo, See Qin Nin, manakala Perak diwakili Cheong Leann, Iris Hoo Xin En, Lok Mei Hui dan Zoe Foong.